KOTA BHARU | Tiga anggota polis direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.
Mereka yang berusia 28 tahun, 34 dan 39 tahun direman bermula hari ini sehingga Khamis ini di Mahkamah Kota Bharu di sini.
Pada masa yang sama seorang pegawai kanan polis disambung reman selama empat hari susulan untuk siasatan kes yang sama.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu Nor Faezah Abdullah serta pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP).
Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan tiga anggota itu ditahan reman.
Katanya, mereka disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Media sebelum ini melaporkan, dua pegawai kanan polis masing-masing direman empat dan lima hari bagi membantu siasatan dakwaan meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.
Pegawai berpangkat ASP ditahan reman bermula Jumaat lalu dan seorang lagi berpangkat Deputi Superintendan (DSP) ditahan reman bermula Sabtu lalu.