KUALA LUMPUR | Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengadakan Perbincangan Khas dengan 24 orang ahli-ahli British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, hasil daripada perbincangan itu, satu usaha sama akan dijalinkan antara KPT dan BMCC.
Katanya, ia bagi membolehkan syarikat-syarikat United Kingdom yang berpusat di Malaysia, membantu graduan tempatan dengan memberikan mereka peluang untuk membina pengalaman di syarikat-syarikat tersebut.
“Latihan pekerjaan ini meliputi pelbagai sektor yang berbeza antaranya aeroangkasa dan pertahanan, automatif, pembinaan dan kejuruteraan, pengangkutan dan logistik, perkhidmatan kewangan, pembuatan serta banyak lagi.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara – PENJANA yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
“Sebanyak RM150 juta diperuntukkan kepada KPT untuk melaksanakan program kemajuan kerjaya atau juga dikenali sebagai PENJANA-KPT-CAP yang memberi tumpuan untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT
Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Zainab Ahmad.
Beliau berkata, satu perbincangan lanjut akan dilakukan oleh pihak kementerian dengan BMCC dalam membincangkan perkara lain yang boleh diteroka bersama bagi memastikan pelajar dari kedua-dua negara mendapat faedah terbaik daripada kerjasama ini.