PUTRAJAYA | Seramai 416 individu ditahan atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 372 individu di kompaun manakala 44 lagi direman.
“Rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran, makan dan minum di premis terus mencatat kesalahan tertinggi iaitu 97 kes.
“Tiada penjarakan fizikal (35); individu gagal mendaftar masuk premis (74); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (43); membawa penumpang berlebihan (39); tidak memakai pelitup muka (58); premis gagal patuhi arahan (6) dan lain-lain (64).
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,285 buah kilang, 16,822 premis perniagaan, 1,015 tapak pembinaan dan 456 buah asrama penempatan pekerja.
“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 67 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, menerusi Operasi BENTENG (Op BENTENG) pula, seramai 47 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) turut ditangkap dan merampas empat buah kenderaan darat.
Dalam operasi itu, sebanyak sebuah bot atau kapal dan sebuah kenderaan darat turut dikesan di perairan negara melalui tiga aktiviti penglihatan.