JELI | Akibat diseret lembu sejauh 50 meter, seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kejadian di Kampung Rahmat di sini, semalam.
Kejadian jam 6.40 petang itu, mangsa bersama ayahnya berada di lokasi sebelum kejadian itu berlaku.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, sebelum kejadian, kanak-kanak itu bersama ayahnya yang berusia 29 tahun ke padang rumput untuk membawa pulang lembu ke rumahnya.
“Selepas ayahnya melepaskan ikatan tali lembu, secara tiba-tiba tali berkenaan telah terbelit di kakinya.
“Ayah mangsa cuba membuka belitan tali di kaki anaknya yang menyebabkan lembu berkenaan terkejut dan melarikan diri.
“Haiwan itu mengheret mangsa sejauh 50 meter menyebabkan kanak-kanak itu cedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, ayah mangsa membawa anaknya ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun selepas sampai, pihak hospital telah mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Katanya, siasatan polis mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan akibat diseret.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat pendarahan dalaman dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.