BEIJING | Tiada apa yang lebih menggembirakan apabila seorang lelaki akhirnya berjaya menemukan anak lelakinya yang dilaporkan diculik sejak 24 tahun lalu.
Lapor BBC, Sejak anaknya diculik di depan rumahnya di wilayah Shandong pada 1997, Guo Gangtang mengembara ke 20 wilayah di seluruh China dengan menaiki motosikal untuk mencari anaknya.
Sepanjang perjalanannya, lelaki itu mengalami beberapa kemalangan sehingga menyebabkan tulangnya patah, selain pernah dirompak.
Gangtang memberitahu, dia menghabiskan duit simpanannya untuk mencari anaknya, terpaksa tisur di bawah jambatan, malah meminta sedekah apabila duitnya habis untuk membeli makanan.
Ketika kejadian, Gangtang meberitahu anaknya diculik oleh dua suspek yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia.
Kisah kehilangan anaknya turut menjadi inspirasi penggiat seni untuk menghasilkan filem yang dibintangi oleh aktor Andy Lau pada 2015.
Pihak berkuasa China memaklumkan, polis dapat mengesan identiti anak Gangtang menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA), selain dua suspek ditahan.
Bapa dan anak itu akan dipertemukan semula pada hujung minggu ini.
“Tiada apa yang lebih menggembirakan apabila saya berpeluang untuk bertemu semula dengan anak saya. Selama ini dia tinggal di wilayah Henan,” kata Gangtang. SUMBER: BBC