KOTA BHARU | “Boleh tak aunty ambil beras ni? Aunty bukan Islam,” tanya Fang Lee Chou, 66 ketika singgah di Program Bantuan Prihatin Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), di sini hari ini.
Lee Chou berkata, dia berikhtiar minta bantuan bekalan makan tersebut kerana suaminya sudah dua bulan tidak bekerja ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Aunty tengah susah sekarang ini, suami pun dah dua bulan tidak bekerja. Kalau tak boleh Aunty tak mengapa, Aunty balik rumah,” katanya.
Dia terpaksa bertanyakan soalan tersebut kerana MAIK adalah agensi kerajaan yang menjaga zakat orang Islam.
Katanya, dia tahu duit zakat hanya untuk kegunaan umat Islam sahaja disebabkan itu dia berhati-hati dalam mengadu permintaannya itu.
“Terima kasih MAIK kerana sudi menghulurkan bantuan kepada saya dan suami,” sebaik sahaja menerima bantuan kotak makanan dan juga bungkusan nasi untuk hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali, berkata, walaupun MAIK dikenali sebagai satu agensi berkaitan agama, namun sumbangan serta bantuan yang dihulurkan merangkumi semua pihak tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit mahu pun negara.
Katanya, menerusi Program Bantuan Prihatin MAIK, pihaknya menggunakan dana baitumal kerana mahu meliputi semua bangsa dan agama.
“Wang zakat hanya untuk kegunaan dan bantuan umat Islam sahaja, jadi untuk program ini kami gunakan dana yang lain seperti pelaburan, peruntukkan kerajaan pusat dan juga sumbangan orang perseorangan,” katanya.
Turut hadir sama dalam program tersebut Pegawai Komunikasi Korporat, Muhamad Firdaus Mat Rahim dan Presiden Pusat Penerangan dan Dakwah Islam Antarabangsa (IIDAC) Muhammad Michael.
Sebanyak 150 asnaf dan gelandangan di sekitar Kota Bharu menerima bantuan tersebut.