KOTA BHARU | Mengharapkan sepenuhnya belas ihsan orang lain, seorang ibu tunggal mengakui tidak mampu untuk menyediakan peralatan lengkap untuk tiga anaknya bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Asmida Abd Rahman, 36, yang sebelum ini membuat kuih, kini tidak mempunyai pendapatan sejak tiga bulan lalu sehingga terpaksa mengharapkan sepenuhnya bantuan daripada kakaknya, Ana, 40 yang bekerja sebagai guru tadika.
Anak sulungnya, Nur Alisa Amani Abdullah, 11, dan Muhammad Alif Amirul, 10, banyak ketinggalan kelas PdPR apabila terpaksa berkongsi menggunakan telefon pintarnya, manakala Muhammad Amar Arsyad Abdullah, 8, tinggal bersama kakaknya itu.
“Suami pergi tinggalkan kami sejak Jun tahun lalu tanpa sebarang berita menyebabkan status saya kini bergantung tanpa tali. Kini, enam anak berusia tujuh bulan hingga 11 tahun hanya bergantung harap kepada saya sepenuhnya.
“Mujur ada kakak yang banyak membantu membayar sewa rumah RM450 sebulan dan memberi bantuan makanan, selain sudi menjaga anak Muhammad Amar supaya tidak ketinggalan kelas PdPR.
“Sekarang ini, hanya Nur Alisa Amani dan Muhammad Alif yang terpaksa menggunakan telefon pintar saya. Itupun bukan selalu kerana mempunyai masalah isyarat internet apabila hanya sekadar mampu membeli pakej asas,” katanya ketika ditemui, di rumahnya dekat Jalan Long Yunus, di sini, hari ini.
Katanya, dia sukar mencari pekerjaan di luar berikutan terpaksa menjaga anaknya yang masih kecil.
Bagaimanapun, nasib keluarga Asmida sedikit terbela apabila Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menerusi Ahli Majlis MARA, Datuk Muhamed Farid Muhamed Zawawi memberi sumbangan tablet, selain mengagihkan barangan keperluan dapur bernilai RM50.
Sementara itu, seorang lagi penerima tablet, Siti Aisah Abdullah, 17, bersyukur apabila menerima sumbangan itu berikutan telefon pintar miliknya sering mengalami masalah menyebabkan banyak kelas PdPR ketinggalan.
“Ibu, Siti Aminah Dollah, 61 kini mengharapkan pencen ayah yang meninggal dunia sejak empat tahun lalu. Keadaan ini menyebabkan kami tidak mampu membeli telefon pintar baharu, sebaliknya mengharapkan gajet lama yang sering ‘hang’.
“Namun sekarang Alhamdulillah, tablet yang disumbangkan YPM ini dapat membantu saya melakukan tugasan dengan lancar dan yakin tidak akan ketinggalan sebarang kelas lagi selepas ini,” katanya yang juga anak bongsu daripada 13 adik beradik.