KEMAMAN | Lebih 2,000 penduduk di Kampung Pengkalan Rangoon dan Pondok Pasir, di sini boleh menikmati jaringan telekomunikasi 4G lebih baik.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan berkata, penduduk tersebut boleh menikmati jaringan telekomunikasi 4G yang lebih baik selepas dua menara komunikasi baharu yang dibina di dua lokasi terbabit telah beroperasi sejak Jun lalu.
Selain itu, projek talian tetap gentian optik di kawasan Kemaman juga sedang giat dilaksanakan melibatkan 8,928 premis.
“Sehingga kini, sebanyak 6,091 premis baharu telah mendapat jaringan gentian optik berkelajuan tinggi manakala baki 2,837 akan siap menjelang suku keempat tahun 2022.
“Peluasan rangkaian gentian optik dan pembinaan menara-menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) ini akan memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk di kawasan-kawasan tersebut.
Melalui usaha-usaha yang diambil itu, para penduduk di kawasan-kawasan berkenaan kini dapat melaksanakan pelbagai aktiviti seharian seperti tujuan pembelajaran, Bekerja Dari Rumah (WFH), perhubungan mahupun aktiviti ekonomi dalam talian, dengan lancar.