KOTA BHARU | Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan bergandingan bersama badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengagihkan bantuan kepada rakyat yang terkesan pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali berkata, salurkan bantuan menerusi NGO adalah inisiatif dilakukan MAIK dalam usaha pihaknya menyalurkan bantuan ke seluruh negeri Kelantan.
Katanya, wujudnya saluran bersama NGO ini, mungkin tidak ada lagi gologan yang tertinggal dan MAIK akan pastikan mereka mandapat bantuan.
“Selain bantuan daripada MAIK sendiri, kita juga turut menyalurkan bantuan menerusi pejabat-pejabat tanah, masjid bandar, jajahan dan mukim serta kini peranan NGO turut digunakan.
“Kita tahu tidak sepenuhnya bantuan dapat disalurkan, malah mungkin ada yang tertinggal, namun dengan penglibatan NGO, MAIK boleh meminimakan mereka yang ketinggalan atan tercicir,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Program Bantuan Prihatin MAIK di Pusat Penerangan dan Dakwah Islam Antarabangsa (IIDAC), di hari ini.
Hadir sama Pegawai Komunikasi Korporat MAIK, Muhamad Firdaus Mat Rahim dan Pengerusi Muhammad Michael.
Mohd Azman berkata, setakat ini lima NGO sudah dimuktamadkan dan jumlah itu akan bertambah dalam masa sehari atau dua hari lagi.
Katanya, pihaknya akan berjumpa dengan NGO-NGO yang terlibat untuk mengatur gerak kerja dan jadual agihan.
“Suka juga saya nak maklumkan bahawa bantuan menerusi NGO ini bukan menggunakan duit zakat yang dikumpul oleh MAIK, sebaliknya ia adalah hasil pelaburan, sumbangan kerajaan persekutuan selain orang perseorangan yang menyumbang kepada tabung baitulmal.
“Kita cari sumber-sumber lain termasuk potongan gaji kakitangan MAIK setiap bulan, kerana bantuan ini diberikan kepada semua bangsa, agama serta warganegara. Duit zakat tidak digunakan kerana ianya hanya untuk kegunaan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata, sehingga hari ini, MAIK dianggarkan sudah membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk lima fasa bantuan sejak Covid-19 melanda negara.