By Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Bahagian Kecemasan serta Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi melihat sendiri situasi di fasiliti kesihatan itu yang sebelum ini dilaporkan berdepan beberapa kesulitan seperti kekurangan katil di wad rawatan COVID-19.
Katanya, beliau dimaklumakan bahawa arahan penambahan segera ventilator bagi kegunaan HTAR telah diselesaikan dan dihantar ke hospital ini susulan peningkatan bilangan pesakit COVID-19 di Klang kebelakangan ini.
“Pihak hospital juga memaklumkan kapasiti katil rawatan bagi wad COVID-19 Unit Rawatan Rapi (ICU) juga akan ditingkatkan dalam waktu terdekat selain inisiatif menjadikan asrama doktor pelatih serta Kompleks Rawatan Harian HTAR sebagai wad sementara bagi merawat pesakit tersebut.
“Langkah segera ini adalah tepat dan amat diperlukan dalam usaha kita memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada pesakit dan masyarakat.
“Saya turut berkongsi keyakinan bahawa usaha kerajaan mencapai tahap imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini berada pada landasan tepat apabila kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan di mana semalam lebih 420,000 dos sehari berjaya diberikan,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.
Turut hadir pada lawatan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta pengurusan tertinggi HTAR.
Beliau berkata, kadar vaksinasi harian itu adalah antara yang tertinggi di dunia dan merupakan satu ‘milestone’ yang sangat baik buat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan usaha Kerajaan mencapai imuniti kelompok.
Katanya, pencapaian itu adalah atas kerja keras semua pihak termasuk rakyat secara keseluruhan yang semakin cakna dengan kepentingan mengambil suntikan vaksin COVID-19.
“Bagi mempercepatkan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Lembah Klang, kerajaan juga akan membeli vaksin tambahan sebanyak dua juta dos dan mengagihkan kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bermula hujung bulan ini.
“Ini merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan peningkatan kes negeri dengan kadar jangkitan tertinggi ini dapat ditangani dalam kadar segera.
“Saya turut mengambil peluang berbual bersama petugas barisan hadapan yang berkongsi kesulitan serta cabaran yang dilalui sepanjang menjalankan amanah mendepani penularan pandemik ini,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau secara peribadi menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada mereka, tidak terkecuali kepada semua barisan hadapan lain yang terus cekal memberikan perkhidmatan sejak pandemik ini melanda negara lebih setahun lalu.
“Terima kasih. Jasa, sumbangan dan pengorbanan anda tidak ternilai harganya. Saya mendoakan semua petugas barisan hadapan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam meneruskan amanah ini,” katanya.