CYBERJAYA | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak 5 Julai lalu telah melancarkan 13 soal selidik mendapatkan maklum balas terhadap kerangka pelesenan perkhidmatan kurier baharu.
SKMM dalam satu kenyataan berkata, 13 soalan tersebut boleh didapati dalam Dokumen Rundingan Awam melalui pautan di: https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/MCMC_Licensing_Framework_PublicConsultationQuestionaire.pdf.
Menrut kenyataan itu, antara soal selidik yang disediakan berkaitan dengan prinsip panduan untuk kerangka pelesenan kurier baharu; cadangan struktur pelesenan baharu; cadangan syarat-syarat pelesenan standard; cadangan syarat-syarat pelesenan khas; cadangan model fi pelesenan baharu serta cadangan proses migrasi dan pemetaan.
Tarikh akhir penghantaran maklum balas untuk Rundingan Awam tersebut ialah pada 12:00 tengah hari, 30 Julai nanti.
Tujuan utama soal selidik itu dibuat sebagai usaha untuk memperkasakan industri pos dan kurier negara.
Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) yang lahir daripada inisiatif Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) baru-baru ini, bermatlamat untuk menyampaikan kualiti perkhidmatan yang lancar kepada semua rakyat Malaysia bagi menyokong pertumbuhan industri e-dagang daripada 14 bungkusan per kapita kepada 30 bungkusan per kapita menjelang 2025 menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.