SHAH ALAM | Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan mengenai penularan wabak berbahaya COVID-19 khususnya di kalangan umat Islam di Negeri Selangor ketika ini.
Justeru, menjelang Hari Raya Aidiladha minggu hadapan, baginda berkenan menasihatkan seluruh umat Islam agar menyambutnya secara sederhana di kediaman masing-masing dan tidak pulang ke kampung atau keluar dari daerah masing-masing.
Dalam kenyataan Selangor Royal Office, baginda bertitah, langkah ini diambil memandangkan kes ‘sporadik’ COVID-19 kini semakin tinggi dalam komuniti.
Baginda tidak mahu jangkitan COVID-19 terus merebak sebagaimana yang berlaku semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
“Baginda juga meminta sekalian rakyat agar berkorban kerana keadaan wabak COVID-19 masih meruncing, dengan jumlah kes baharu di Selangor yang melebihi 4,000 kes sehari dan jumlah kematian keseluruhan yang kini mencecah 2,063 orang.
“Baginda turut menggesa pihak yang bertanggungjawab ke atas pengagihan vaksin ke seluruh Negara supaya menambah jumlah pemberian vaksin di Negeri Selangor dengan kadar segera, agar nisbah peratusannya selari dengan jumlah populasi dan jumlah kadar jangkitan wabak di Selangor,” kata kenyataan itu, hari ini.
Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.
Miszairi melaporkan diri di Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk menjalankan tugas Timbalan Mufti Selangor pada 1 Julai lalu.
Titah Baginda lagi, memandangkan terdapat banyak kilang dan perindustrian di Selangor maka pemberian vaksin kepada pekerja-pekerja kilang harus disegerakan, sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok.