KUALA LUMPUR | UMNO hari ini bertindak memecat Pengarah Pilihan raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkuat kuasa serta merta.
Dalam satu kenyataan media, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melantik Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hassan menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat akan menjalankan tugas sebagai Pengerusi ‘War Room’ Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
“Penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya UMNO ini bagi memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi.
“Dengan kedudukan Mohamad sebagai Timbalan Pengerusi BN, ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan Pilihan Raya yang melibatkan semua parti-parti komponen BN,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, UMNO Malaysia ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tajuddin yang sebelum ini menggalas amanah sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO.
Pemecatan Tajuddin dipercayai akibat tularnya satu audio berdurasi 15 minit yang menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat Ahmad Zahid.
Menerusi rakaman suara tersebut, Tajuddin dilihat lantang mengkritik keputusan Ahmad Zahid yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassan.
Malah rakaman tersebut juga turut mendedahkan rancangan untuk kerjasama UMNO dengan Anwar Ibrahim sebelum ini.