KUALA LUMPUR | Kerajaan Persekutuan digesa untuk menyelesaikan isu perjawatan pegawai perubatan kontrak dengan segera dan menyerap masuk ke dalam perkhidmatan tetap.
Ketua BERSATU Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, isu itu wajar diberi keutamaan berbanding lantikan penjawat awam di sektor lain terutamanya dalam situasi sistem perubatan negara yang hampir gagal.
Katanya, kerajaan perlu mencari formula terbaik bagi menyelesaikan perkara itu.
“Wujudkan jawatan tetap untuk pegawai perubatan secepat mungkin dan dijadikan keutamaan. Jangan biarkan keluhan dan rintihan daripada barisan hadapan ini dipandang sepi.
“Bukan hanya dengan kata pujian dan terima kasih sahaja, sebaliknya kita perlu menyokong keperluan mereka untuk bertugas termasuk memberi jaminan dan menjadikan mereka sebagai pegawai perubatan berstatus tetap,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan pengambilan guru baharu oleh pihak kerajaan berbanding pegawai perubatan memandangkan situasi sistem perubatan negara yang semakin kritikal.
Pada sama, Mahathir turut menggesa penyelarasan antara agensi-agensi kerajaan dan kementerian yang terlibat kerana gagal untuk menyusun keutamaan yang perlu diberikan dalam keadaan darurat.
“Kita boleh beri pelbagai alasan, tetapi mereka (petugas perubatan) dan rakyat bercakap, kenapa pengambilan guru dibuat dan ditambah sedangkan sektor pendidikan seperti tidak beroperasi berbanding sektor kesihatan yang begitu kritikal?
“Penyelarasan antara kementerian perlu dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya dapat menguruskan keutamaan di ketika kegawatan ini,” tegas beliau.