NEW YORK | Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam berkata sejumlah 11 bilion dos diperlukan untuk vaksinasi 70 peratus penduduk dunia bagi menamatkan wabak COVID-19, lapor Bernama.
“Janji untuk menyumbang dos vaksin dan dana adalah amat dialu-alukan, tetapi ia tidak mencukupi.
“Kami memerlukan sekurang-kurangnya 11 bilion dos untuk vaksinasi 70 peratus penduduk dunia dan mengakhiri wabak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan pembukaan segmen menteri Forum Politik Tahap Tinggi mengenai Pembangunan Lestari, iaitu platform tertinggi untuk mengkaji pelaksanaan Agenda Pembangunan Lestari 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari.
“Setiap orang, di mana saja perlu mempunyai akses kepada vaksin, ujian, rawatan dan sokongan COVID-19.
“Pembangunan dan pemberian vaksin, termasuk melalui mekanisme ekuiti global, ACT-Accelerator dan kemudahan COVAX memberikan harapan,” katanya.Mengambil maklum terdapat akses yang tidak seimbang terhadap mekanisme itu, terutama dalam pemberian vaksin di seluruh dunia dan di antara negeri, beliau berkata, jurang vaksinasi global memberikan ancaman kerana apabila virus bermutasi ia menjadi lebih mudah menular dan menyebabkan kematian.
“Dunia memerlukan Rancangan Vaksinasi Global untuk sekurang-kurangnya boleh menggandakan pengeluaran vaksin, memastikan pengedaran yang adil melalui COVAX, menyelaraskan pelaksanaan dan pembiayaan serta menyokong program imunisasi nasional.
“Untuk merealisasikan rancangan ini, saya meminta kerjasama Pasukan Petugas Darurat terdiri daripada negara menghasilkan dan boleh menghasilkan vaksin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, rakan ACT-Accelerator, institusi kewangan antarabangsa, pihak yang berurusan dengan syarikat farmasi dan pengeluar serta pihak berkepentingan utama yang lain.
“Buat masa ini, adalah sangat penting untuk membiayai sepenuhnya ACT-Accelerator dan menyokong pelaburan AS$50 bilion (RM206 bilion) yang akan dipimpin oleh Dana Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, Organisasi Kesihatan Dunia dan Organisasi Perdagangan Dunia untuk mengakhiri pandemik dan mendapatkan pemulihan global,” katanya.