BEIJING | Runtuhan bangunan hotel di Timur China mengorbankan seramai 17 mangsa dengan pihak berkuasa mencari dan menyelamat menamatkan misi pencarian semalam.
Lapor Agensi, pihak berkuasa bandar Suzhou dalam media sosial memaklumkan, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan daripada serpihan runtuhan di Hotel Siji Kaiyuan yang runtuh Isnin lalu.
Seramai lima mangsa lain dihantar ke hospital bagi menjalani rawatan.
Kebanyakan mangsa yang maut merupakan pelanggan hotel dan pihak menyelamat terpaksa menggunakan kren, tangga, pemotong logam serta anjing pengesan bagi mencari mangsa yang masih hidup.
Lebih 600 anggota termasuk pasukan penyelamat gempa bumi dan 120 kenderaan dikerahkan bagi operasi itu.
Pasukan penyiasat akan mengenal pasti punca yang menyebabkan runtuhan itu dan pihak polis sudah memanggil wakil-wakil sah, pengurus hotel serta pihak yang mereka bentuk bangunan itu.
Bangunan setinggi tiga tingkat itu mengandungi 54 bilik dan mula beroperasi sejak 2018.