KOTA BHARU | Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan sebanyak 3,814 kesalahan yang dilakukan pemandu lori bagi Januari hingga Jun tahun ini.
Pemandu lori melakukan kesalahan dengan membawa muatan lebih dan muatan berbahaya.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesalahan yang dilakukan pemandu lori meningkat berbanding dalam tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 1,470.
Katanya, itu antara kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori pada musim Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita dapati ia meningkat sebanyak 159 peratus berbanding tahun lalu. Peningkatan ini disebabkan pemandu lori yang tidak takut apabila membawa muatan lebih untuk mengejar perjalanan.
“Kita juga dapati, ada pemandu lori yang membawa muatan berbahaya antaranya kayu balak, pasir dan batu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Insaniah JPJ Kelantan di Kampung Chica Menyabong di sini, hari ini.
Hanif berkata, tindakan diambil kepada pemandu lori mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan ini juga pihaknya meningkatkan penguatkuasaan di jalan raya apabila sebanyak 63,141 jumlah kenderaan diperiksa berbanding tahun lalu berjumlah 38,017.