KOTA BHARU | Bagi meringankan beban keluarga yang terjejas akibat COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyumbangkan makanan keperluan dan wang tunai kepada 50 keluarga.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sumbangan itu diberikan hasil sumbangan wang daripada anggota dan pegawai JPJ.
Katanya, pihaknya mengumpul wang sejak beberapa minggu lalu untuk membantu golongan terjejas.
“Hari ini kita beri sumbangan kepada lapan keluarga dan selebihnya akan diagihkan selepas ini.
“Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat ringankan beban mereka yang terkesan,” katanya ketika ditemui di Program Insaniah JPJ Kelantan di Kampung Chica Menyabong di sini, hari ini.
Seorang penerima, Azizah Chik, 67, berkata, dia bersyukur kerana terpilih menerima bantuan bekalan makanan yang boleh meringankan bebannya di musim pandemik Covid-19.
“Saya tinggal seorang diri di rumah dan bekalan ini cukup untuk menampung keperluan dapur mak cik pada tempoh sukar ini.
“Mak cik juga akan gunakan wang tunai ini dengan sebaik mungkin di samping bantuan daripada dua anak yang masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan serta kakitangan awam,” katanya.