PESHAWAR | Seramai sembilan pekerja China terbunuh selepas sebuah bas meletup di barat laut Pakistan.
Individu yang terbunuh merupakan antara 13 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.
Bas itu dikatakan membawa jurutera China, juruukur serta pekerja mekanikal ke empangan Dasu di wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang masih dalam pembinaan.
“Letupan itu menyebabkan kebakaran di dalam enjin,” kata sumber kerajaan tempatan kepada AFP.
Katanya, seramai 28 penumpang warganegara China turut mengalami kecederaan.
Pegawai kanan polis mengesahkan kejadian tersebut dan menyifatkan ia sebagai letupan yang sangat kuat namun punca kejadian masih belum dikenal pasti.
Kedutaan China di Pakistan menerusi kenyataan memaklumkan beberapa projek oleh firma China di negara ini diserang sehingga menyebabkan kematian warganegara itu.
Pihaknya meminta firma China mengetatkan kawalan keselamatan pekerjanya.
Isu keselamatan pekerja China sudah menjadi masalah sejak sekian lama dengan Beijing meletakkan peruntukan 10 bilion dolar sejak beberapa tahun serta sebilangan besar penduduk China berada di Pakistan bagi menyelia pembinaan projek di sini. -AFP