KUALA LUMPUR | Semua ahli Jemaah Menteri membuat keputusan sebulat suara untuk kekal memberi sokongan penuh kepada kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan,keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.
“Ahli-ahli Jemaah Menteri juga ingin memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pandangan semua pihak.
Keutamaan kerajaan pada ketika ini adalah untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara serta membawa negara keluar dari pandemik COVID-19,” menurut kenyataan ringkas itu, hari ini.
Terdapat 32 ahli Jemaah Karbinet termasuk Perdana Menteri yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Gabungan Parti Sarawak, PAS, Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Bebas.
Media sebelum ini melaporkan Ahli Parlimen BN sepakat untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara ketika ini.
Ahli Parlimen BN dalam kenyataan berkata, pendirian itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di mana ahli-ahli Parlimen diberi kebebasan untuk menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya dan jika berlaku sebarang pengundian dalam sesi Parlimen pada 26 Julai sehingga 2 Ogos.