KLANG | Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang hari ini menafikan Jabatan Kecemasan dan Trauma telah ‘dikosongkan’ semalam kerana menerima lawatan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, jabatan berkenaan sememangnya sudah penuh dengan pesakit.
“Berita yang tular itu tidak benar, jabatan tersebut sudah penuh dan semalam seramai 177 pesakit masih belum menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
“Berkenaan pemindahan pesakit Covid-19 ke Kompleks Rawatan Harian (ACC) yang ditukarkan fungsi sebagai Wad Covid-19 adalah pelan kontigensi yang diambil bagi Pengurusan Bencana Peringkat Hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Zulkarnain berkata, pada 8 Julai lalu wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma telah dikenalpasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.
Katanya, pada 9 Julai pula, Kompleks Rawatan Harian (ACC) telah dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad sementara merawat pesakit Covid-19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan dalam ruang yang selesa.
“Kriteria untuk menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 ke Wad covid-19 Berisiko Rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad, dan ianya bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma.
“Trend semasa di Jabatan Kecemasan dan Trauma menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 sehingga 180 pesakit,” katanya.