KANGAR | Imuniti kelompok dijangka dapat dicapai sebelum hujung September seperti yang disasarkan kerajaan sebelum ini.
Lapor HarakahDaily, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, di peringkat negara sudah dicapai suntikan harian melebihi angka 400,000 seperti semalam.
Katanya, Malaysia menjangkau 424,541 dos sehari dan sebelum itu pula 425,000 dos dan ia menunjukkan kita menjangkaui sasaran yang dikehendaki.
“Sasaran asal kita hanya sebanyak 390,000 dos harian untuk Julai, jadi sekiranya kita dapat mengekalkan suntikan harian seperti ini matlamat untuk mencapai imuniti kelompok menjelang hujung September akan dapat dicapai,” katanya ketika lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan 2020 hari ini.
Menurutnya juga bagi Perlis, jumlah rakyat yang selesai satu dos ialah sebanyak 80,803 orang iaitu sebanyak 31.7 peratus, manakala yang lengkap dua dos sebanyak 58,539 orang iaitu 23 peratus sehingga semalam.
Di peringkat negara pula sebanyak 8.1 juta individu telah menerima vaksin keseluruhan sama ada satu dos atau dua dos.
“Perlis juga menjadi negeri dalam empat teratas yang berjaya melaksanakan pemberian vaksin dengan kadar tinggi malah menjadi menjadi negeri ketiga di Malaysia,” ujarnya.
Perlis mula menerima vaksin pada 24 Februari dan sehingga 12 Julai jumlah pendaftaran vaksin di Perlis ialah 56 peratus daripada populasi iaitu 144,552 orang.
Manakala populasi 18 tahun yang mendaftar ialah sebanyak 75.3 peratus dan 60 tahun pula mencapai 81.9 peratus.
Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga semalam menunjukkan lebih 1.4 juta atau 51 peratus penduduk Sarawak sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19.
Kemudian disusuli Labuan (39,898/40.1 peratus), Lembah Klang (3.2 juta/38 peratus), Perlis (80,803/31.7 peratus), Negeri Sembilan (342,605/30.4 peratus) dan Pulau Pinang (418,911/23.6 peratus).
Labuan pula mencatatkan kadar penerima dua dos vaksin tertinggi dengan 33,380 individu atau 33.5 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi pulau itu.
Ia disusuli Sarawak (661,799/23.5 peratus), Perlis (58,539/23 peratus), Negeri Sembilan (142,138/12.6 peratus), Lembah Klang (984,631/11.7 peratus) dan Perak (282,729/11.3 peratus).