JOHOR BAHRU | Polis menahan seorang lelaki etnik Rohingya, dikenali sebagai ‘Long Tiger’ kerana disyaki melakukan kurungan salah di Muar, kira-kira jam 9.45 malam pada Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ia membabitkan kesalahan mengurung bekas pekerjanya yang juga warga tempatan berusia 21 tahun.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap suspek mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan.
“Individu ini mempunyai rekod jenayah lampau seperti pemerasan, culik dan rogol. Kini, dalam tempoh reman selama empat hari bermula 13 hingga 16 Julai ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.Lelaki berusia 35 tahun itu, sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi, termasuk memfitnah pegawai polis melalui sesi siaran langsung di Facebook.
Suspek pernah ditahan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.
Bagaimanapun, Majistret Zuraidah Abu Bakar dalam prosiding di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar membebaskannya selepas mendapati tiada justifikasi kukuh yang dikemukakan bagi menyambung tempoh tahanan reman terhadapnya.
Pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu kemudiannya ditahan semula bersabit kes pemerasan sebelum mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak, 6 Mei tahun lalu.