KUALA LUMPUR | PAS mencadangkan beberapa langkah atau pandangan yang perlu dilakukan dalam Program Tadbir Urus Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata cadangan itu dikemukakan ketika pertemuan dengan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam.
Katanya, antara cadangan yang dikemukakan agar kerajaan lebih agresif dan beri tumpuan di Selangor dan Lembah Klang dari sudut penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan juga vaksinasi harian.
“Kami cadangkan supaya pendekatan berfokus perlu dilakukan di Selangor dengan menambah jumlah vaksinasi harian dari 100, 000 sehari ke kepada 250,000 sehari agar tahap imuniti kelompok 80 peratus di negeri itu dapat dicapai dalam masa dua minggu.
“Fasa pemberian vaksin dibawah Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK) perlu anjal dan diubahsuai mengikut kadar infeksi di sesebuah negeri. Walaupun vaksinasi pekerja melalui program PIKAS hanya bermula di Fasa 4, namun seharusnya ia dipercepatkan khusus di negeri seperti Selangor,” katanya menerusi satu kenyataan.
Idris berkata, kerajaan juga perlu menggunakan segala sumber sama ada personel atau aset perlu digunakan untuk tujuan tersebut.
Katanya, langkah ini dijangka dapat mengembalikan PPN ke fasa kedua di hujung bulan Julai dengan jumlah kes kurang 4,000 sehari.
“Kes Covid-19 yang mendadak juga menyebabkan hospital-hospital kerajaan agak tepu. Kelihatan tiada kordinasi di antara hospital milik Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertahanan. Justeru kami merasakan perlunya ada ‘central command’ dengan melibatkan semua aset dan guna tenaga dari semua yang terlibat.
“Tiada tadbir urus yang berpusat yang menjaga kebajikan sukarelawan malah kebanyakan mereka tidak mendapat apa-apa bayaran mahupun vaksinasi terlebih dahulu. Semalam kita diberitakan dengan seramai 204 petugas di PPV Shah Alam dijangkiti Covid-19. Ini memberi impak negatif kepada kerajaan,” katanya.
Kerajaan sekurang-kurangnya memperuntukkan elaun makan kepada para sukarelawan ini selain berikan juga mereka suntikan.
“Kami juga mencadangkan agar Kerajaan menggunakan teknologi virtual terkini di dalam kuarantin kendiri bagi CAT 1 & CAT 2 pesakit Covid-19. Penggunaan gelang untuk kuarantin kelihatan agak primitif.
“Penggunaan Mysejahtera perlu diperluaskan dengan merubah status secara automatik apabila disahkan oleh makmal. Pergerakan pesakit diawasi dengan GPS melalui aplikasi mudah alih yang wajib diaktifkan. Arahan perlepasan kuarantin juga tidak lagi memerlukan pegawai perubatan. Cukup dengan Mysejahtera.
Selain itu, Idris berkata, bagi membuka destinasi pelancongan pasca Covid-19, PAS mencadangkan supaya Langkawi dipilih sebagai projek ‘pilot untuk Travel bubble’.
Katanya, kedudukannya yang berhampiran dengan Selatan Thailand yang sudah pun membuka aktiviti pelancongannya boleh mendapat manfaat limpahan pelancong ke Langkawi.
“Keseluruhan 70,000 penduduk di Langkawi perlu divaksinasi dan kemasukan pelancong perlu mengikut SOP antarbangsa yang telah digunakan oleh negara-negara maju yg lain.
“Penggunaan ujian saringan menggunakan air liur dengan penghasilan keputusan yang pantas boleh digunakan sebagai syarat masuk dan keluar dari Pulau Langkawi.
Idris berkata, PAS juga mencadangkan pengurangan kadar faedah 50% bagi pinjaman bank yang telah diluluskan untuk diberi moratorium 6 bulan.
Ia juga meliputi pengurangan faedah dan pemberian moratorium kepada pinjaman daripada bukan institusi bank seperti syarikat kredit.
PAS mencadangkan agar kadar faedah atau keuntungan kad kredit diturunkan kepada empat hingga lima peratus.
“Oleh kerana moratorium tidak diberikan kepada mereka yang tidak bayar 90 hari berturut-turut maka sudah tentu membebankan dan membawa kepada masalah muflis kepada peminjam ini. Maka kami mencadangkan supaya mereka ini diberikan moratorium selama 3 bulan. Ertinya beri peluang padanya untuk pulihkan ekonominya.
“Selain itu, tempoh projek “Program Prihatin Kasih’ sebanyak RM100 sebulan dinaikkan RM200 sebulan dan tempoh dilanjutkan 6 bulan melibatkan 300,000 keluarga miskin.
“Kerjaan juga boleh wujudkan “Jaringan Kecemasan” untuk mereka dibuang kerja yang hilang pendapatan serta merta supaya ada tempat untuk mereka bergantung dan menyelesaikan masalah mereka.
Bagi yuran Institut Pengajian Tinggi Awam juga boleh dikurangan kepada 50% dan memberi RM1000 bantuan yuran kepada pelajar di IPTS
“Wujudkan pusat tuisyen percuma untuk anak-anak yang tertinggal dalam PdPR serta bantuan kewangan one-off kepada guru-guru Mahad Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat, pondok dan pra-sekolah yang terjejas dan bantuan per kapita kepada pelajar tersebut,” katanya.