by Nor Shazleza Shahril
PASIR MAS | Seorang pensyarah meninggal dunia selepas ditemui lemas apabila kenderaan yang dipandu terbabas jatuh ke dalam sungai di jambatan Kampung Paloh, Chicha Tinggi, di sini, semalam.
Mangsa, Abdullah Derahman, 56, yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu, memandu kenderaan jenis Ford Ranger berwarna hitam sendirian sebelum dipercayai terbabas.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 5.50 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan, mangsa dalam perjalanan dari Kampung Paloh menuju ke Chicha Tinggi, di sini, dipercayai tidak dapat mengawal kenderaam miliknya dan terlanggar besi penghadang jambatan sebelum terbabas masuk ke dalam sungai.
“Mangsa ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat. Mangsa disahkan meninggal akibat lemas.
“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.