KUALA LUMPUR | Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap individu dikenali Dr Han @ Gigi Hang Yang kerana memuat naik klip video mempertikaikan skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam.
Lapor Berita Harian, video ditularkan itu berdurasi enam minit 49 saat bertajuk ‘Malaysian doctors on strike/mogok? 1st-12th July 2021 Code Black’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata hasil siasatan mendapati individu itu melalui video berkenaan turut menyeru orang ramai mengambil bahagian dalam mogok berkenaan.
Beliau berkata, ia dengan menukar gambar profil di media sosial masing-masing dengan warna hitam atau monokrom dari 1 hingga 12 Julai lalu serta memuat naik gambar dengan tanda pagar atau ‘hashtag’ seperti #SaveMYcontractHCW, #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY, kelmarin. Katanya, tindakan itu dinamakan sebagai ‘code black’ yang membawa maksud keadaan darurat di hospital akibat ancaman kepada petugas atau ancaman bom di hospital.
“Kod itu bertujuan untuk memberi sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang menuntut untuk diberi keistimewaan sebagaimana pegawai perubatan berstatus tetap.
“Individu itu juga mendakwa sistem diamalkan kerajaan boleh menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia dan perkhidmatan kesihatan selama enam dekad sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana dengan niat mengapikan mana-mana golongan melakukan kesalahan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.
Semalam, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr M Subramaniam dilaporkan berkata beberapa doktor disiasat polis kerana disyaki terbabit kempen mogok berkenaan.
Dr Subramaniam dipetik menyifatkan siasatan itu sebagai tidak perlu yang berbentuk gangguan kepada penganjuran kempen itu.
Dalam pada itu, Abd Jalil menasihatkan orang awam supaya tidak membuat kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Katanya, semua individu juga digesa menjadi pengguna media sosial bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit hingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Ng Guan Seng di talian 03-8886 2222 atau pusat kawalan daerah Putrajaya (03-8886 2145)