KUALA LUMPUR | Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung penambahan slot janji temu vaksinasi Covid-19.
Pengarah JSJK Datuk Mohamad Kamaruddin Md Din berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima satu laporan polis yang oleh seorang petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) di sini.
“Berdasarkan laporan polis yang diterima, pengadu mendakwa wujud lebihan penerima vaksin yang tersenarai di dalam sistem MySejahtera berbanding jumlah vaksin yang diperuntukkan kepada PPV berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997. siasatan masih di peringkat awal dan pihak polis sedang dalam tindakan untuk mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd Kamaruddin berkata, pihak polis menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan isu ini.
Katanya, selaras dengan usaha untuk memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjaya direalisasikan, orang ramai adalah dinasihatkan agar sentiasa memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada pihak kerajaan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha untuk mensabotaj program yang sedang dilaksanakan samada untuk kepentingan individu mahupun sebaliknya.
Tindakan tegas sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati ingkar,” katanya.