By Ismail Muhamad
TANAH MERAH | Lebih 500 pemandu lori kawasan Tanah Merah dan Jeli menarik nafas lega apabila operasi kuari pasir dan batu dibenarkan semula di negeri ini.
Wakil jurucakapnya, Zulkifli Yunus berkata, kebenaran oleh kerajaan negeri sejak semalam itu disambut baik pemandu lori kerana mereka dapat kembali beroperasi membawa muatan kuari pasir dan batu seperti biasa.
Sehubungan itu katanya, pemandu lori berkenaan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membenarkan semula operasi kuari pasir dan batu di negeri ini.
Katanya, kebenaran beroperasi itu melegakan pemandu lori yang bergantung sumber pendapatan kepada membawa muatan kuari pasir, batu dan tanah.
“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), operasi kuari pasir dan batu tidak dibenarkan kerajaan negeri menyebabkan pemandu lori mengeluh kerana mereka hilang punca pendapatan.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri mendengar luahan dan keluhan pemandu lori serta pengusaha kuari pasir dan batu apabila membenarkan semula operasi itu di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Journal Malaysia di sini, hari ini.
Zulkifli yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Lanas Jedok berkata, kebenaran operasi kuari pasir dan batu itu nyata mengembirakan pemandu lori yang sebelum ini cukup terkesan hilang punca pendapatan.
Malah katanya, ahli peladangnya turut terbabit dalam menjalankan operasi lori membawa muatan kuari pasir, batu dan tanah dan kini mereka dapat kembali beroperasi seperti biasa sekali gus mengelakkan kenderaan mereka tersadai begitu sahaja.
“Kita dapati bila operasi kuari pasir dan batu tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP 3.0, ramai pemandu lori termasuk ahli peladang yang mempunyai lori lima dan 10 tan hilang punca pendapatan sedangkan mereka perlu langsaikan ansuran bulanan lori serta sara hidup keluarga.
“Dalam hal ini pemandu lori berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memahami situasi dialami mereka dengan membenarkan kuari pasir dan batu beroperasi semula,” katanya.
Pada 8 Julai lalu, Journal Malaysia menyiarkan keluhan pemandu Lori kawasan Tanah Merah dan Jeli kini sangat terkesan dan terjejas teruk kerana hilang punca pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan kerana lori tidak dapat beroperasi membawa muatan kuari pasir, batu dan tanah.
Pemandu lori berkenaan memohon kerajaan negeri membuka semula operasi kuari pasir dan batu supaya lori dapat kembali beroperasi membawa muatan kuari pasir, batu dan tanah untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Difahamkan, terdapat 800 buah lori kini tersadai di dua kawasan itu berikutan operasi kuari pasir dan batu masih tidak dibenarkan kerajaan negeri ini ketika PKP 3.0 susulan SPP.