KUALA LUMPUR | Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) hasil pengauditan perunding dari tahun 2014 hingga 2020.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada hari ini supaya hasil audit daripada PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, disiasat.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang sedang dilaksanakan pada masa ini.
“Siasatan itu juga menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.
“RCI akan mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.
“Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus LTH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, katanya, RCI akan mengemukakan kepada Kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan.
Menurutnya, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.
“Perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Penubuhan RCI ini adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada Kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH.
“Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH telah menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” katanya.