KUALA LUMPUR | Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukan RM880,000 untuk membantu keluarga yang memerlukan di seluruh negeri di termasuk Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, peruntukan menerusi Inspirasi Prihatin YAPEIM itu disasarkan kepada 1,760 keluarga.
Beliau berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Alhamdulillah peruntukan yang diberikan dapat membantu keluarga yang memerlukan.
“Saya berkesempatan menyampaikan bantuan di sekitar kawasan Klang, Selangor melalui program ini.
“Yang menariknya, program ini memudahkan penerima manfaat untuk mendapat bantuan tunai atau barangan yang bernilai RM500 secara one-off tanpa perlu menyediakan dokumen sokongan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sumbangan berbentuk wang tunai beserta bank makanan YAPEIM itu disampaikan kepada salah seorang ibu tunggal bertempat di Maahad Tahfiz Ar Ridhuan, Kampung Nelayan yang diseliakan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, Almarhum Ustaz Rizuan Rahmat yang meninggal baru-baru ini.