MAKKAH | Kawalan keselamatan lebih ketat akan dikenakan di Makkah dan sekitar tempat suci lain bagi mengelakkan individu yang tidak dibenarkan memasuki kota itu ketika haji, kata komander operasi semalam.
Mereka juga menekankan jemaah haji tidak dibenarkan berjalan kaki dari Masjid Besar ke Arafah, atau antara Arafat, Muzdalifah dan Mina.
Pada taklimat di Pusat Operasi Keselamatan Bersatu di Makkah, Komander Pasukan Keselamatan Haji, Mejar Jeneral Zayed bin Abdulrahman Al-Tuwayan, berkata jemaah hanya dibenarkan bergerak di antara lokasi dengan menaiki bas yang disediakan untuk tujuan terbabit.
“Bas itu mempunyai empat warna. Setiap daripadanya merujuk kepada daerah tertentu dalam kota suci,” katanya.Katanya, jemaah haji digesa mematuhi peraturan dan mereka tidak dibenarkan berjalan kaki.
“Semua pintu masuk ke Makkah dipantau bukan hanya oleh petugas keselamatan, tetapi oleh kamera thermal (alat pengimbas haba) untuk menghalang individu tanpa permit haji memasuki tanah suci.
“Lembah dan gunung yang mengelilingi Makkah sepenuhnya dikawal rapi bagi mengelakkan dibolosi mereka tanpa permit dengan dipantau pasukan Mujahidin dan dilengkapi dengan kamera untuk menggagalkan cubaan memasuki tanah suci,” katanya.
Dalam pada itu, Al-Tuwayan mendesak semua warga dan penduduk untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan khususnya ketika menghadapi cabaran luar biasa yang disebabkan pandemik COVID-19 bagi kesejahteraan semua.
“Keselamatan jemaah tetap menjadi keutamaan, namun perkhidmatan daripada pihak kami disediakan bagi membantu mereka yang tersesat, selain mengingatkan jemaah menjaga barang peribadi dengan selamat sepanjang melakukan ibadat haji,” katanya.
Penolong komandan Pasukan Keselamatan Haji untuk keselamatan Masjidil Haram dan sekitarnya, Mejar Jeneral Mohammed Al-Bassami, mengesahkan masjid itu kini sedia menerima jemaah.
“Dengan koordinasi dengan Kementerian Haji dan Umrah, jemaah boleh memasuki Masjidil Haram antara jam 6 pagi pada hari ketujuh Zulhijjah (17 Julai),” katanya kepada Arab News sambil memaklumkan tawaf itu mampu menampung kira-kira 4,000 hingga 6,000 jemaah bagi setiap jam.
Katanya, pasukan keselamatan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan untuk melindungi jemaah haji dan mencegah penyebaran COVID-19 ketika mengerjakan haji.
Arab Saudi sebelum ini mengumumkan akan membenarkan 60,000 penduduk negara itu yang diberi vaksin untuk menunaikan haji tahunan. – AGENSI