KUALA LUMPUR | Indeks utama Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini di sebalik kebimbangan terhadap tahap pemulihan ekonomi negara berikutan kes baharu harian COVID-19 yang telah mencecah lima angka selama dua hari berturut-turut.
Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) 1.21 mata lebih tinggi kepada 1,513.53 daripada 1,512.32 sewaktu ditutup pada Rabu.
Indeks utama itu dibuka 0.25 mata lebih tinggi kepada 1,512.57.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 172 berbanding 135, manakala 238 kaunter tidak berubah,1,683 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.Jumlah dagangan meningkat kepada 283.08 juta unit bernilai RM105.51 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata peningkatan kes harian COVID-19 yang membimbangkan telah menyuramkan keyakinan terhadap kadar pemvaksinan yang semakin baik di negara ini.
“Kami berpandangan bursa tempatan akan terus didagangkan tidak banyak berubah sehingga Malaysia boleh beralih kepada Fasa Kedua dalam Pelan Pemulihan Negara.
“Sementara itu, pasaran mungkin memantau siri data ekonomi China yang akan dikeluarkan hari ini,” menurut firma broker itu dalam nota hari ini.
Mengikut komoditi, ia berkata, harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat melepasi paras RM4,000 satu tan seiring dengan niaga hadapan kacang soya, manakala harga minyak mentah mencatatkan penurunan.
Firma itu turut menjangkakan minat belian dalam indeks teknologi akan berterusan dalam masa terdekat, manakala harga MSM yang lebih kukuh akan memberikan petanda baik kepada sebahagian kaunter perladangan.
Ia juga menjangka sektor penjagaan kesihatan akan menyaksikan dagangan yang meningkat semula dalam jangka pendek berikutan kes COVID-19 yang tidak berkurang di negara ini.
“Bagi unjuran teknikal, apabila pelabur berada di luar pasaran, kami menjangka indeks utama akan didagangkan dalam paras rintangan antara 1,525 – 1,548, manakala sokongan pada 1,500,” katanya.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB menambah dua sen masing-masing kepada RM8.07 dan RM9.64, manakala Public Bank, Petronas Chemicals dan CIMB tidak berubah masing-masing pada RM4.07, RM8.03 dan RM4.53.
IHH pula menokok kepada RM5.68.
Bagi kaunter paling aktif, Yenher naik satu sen kepada 96 sen, manakala Sapura Energy dan Lambo masing-masing tidak berubah pada 12 sen dan satu sen, dan Serba Dinamik menokok 1.5 sen kepada 42.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 11.68 mata kepada 11,040.18, Indeks FBMT 100 menokok 11.78 mata kepada 10,756.38, dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 4.88 mata kepada 12,080.95.
FBM Ace naik 1.26 mata kepada 7,106.41 dan FBM 70 menokok 28.08 mata kepada 14,386.66.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 27.94 mata kepada 14,912.04 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 186.83, manakala Indeks Perladangan turun 20.67 mata kepada 6,196.66. – Bernama