SINGAPURA | Singapura melaporkan jumlah kes tertinggi penularan COVID-19 dalam tempoh 10 bulan susulan pengesanan kluster membabitkan pekerja dan pelanggan sebuah pusat hiburan KTV.
Daripada 56 kes jangkitan baharu, 41 daripadanya berkaitan pusat hiburan berkenaan, menurut Kementerian Kesihatan.
Kementerian itu awal minggu ini, memaklumkan pihaknya sedang menyiasat jangkitan dalam kalangan penyambut tetamu warga Vietnam yang sering mengunjungi ruang santai atau kelab KTV itu dengan menawarkan ujian COVID-19 secara percuma kepada mereka yang berpotensi terdedah.
Kes pertama yang diketahui membabitkan seorang wanita warga Vietnam yang mendapatkan bantuan perubatan pada Ahad lalu, lapor media tempatan.Singapura masih belum memberi kebenaran pembukaan pusat hiburan dan kelab KTV dengan pihak berkuasa memberitahu lokasi penyebaran virus berkenaan berfungsi sebagai kedai makan dan minuman.
Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkata polis akan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.
“Mana-mana kedai yang menyediakan perkhidmatan penyambut tetamu atau menawarkan aktiviti dalam jarak yang dekat tidak pernah dibenarkan,” katanya kepada media tempatan, menurut CNA.
“Jadi, perkara yang berlaku kini amat mengecewakan.”
Ye Kung berkata, pihaknya tiada rancangan untuk melonggarkan sekatan yang dikenakan setakat ini disebabkan kluster terbabit dengan alasan kemajuan dalam vaksinasi.
Di antara mereka yang dijangkiti virus itu, termasuk penumpang kapal pelayaran yang sudah dimasukkan ke hospital. Hampir 3,000 penumpang dan anak kapal berkurung dalam kabin kapal berkenaan sementara menunggu ujian COVID-19. – AGENSI