KUALA LUMPUR | Kerajaan tidak seharusnya memberi tumpuan kepada isu pegawai kesihatan berstatus kontrak sahaja berikutan terdapat puluhan ribu lagi perjawatan di setiap kementerian yang masih berstatus kontrak serta menunggu masa untuk ditamatkan sahaja.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berkata misalnya di Kementerian Kesihatan sendiri selain daripada pegawai kesihatan berstatus kontrak, terdapat perjawatan lain yang kritikal masih berstatus kontrak seperti jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat, juru x-ray dan juruteknik makmal perubatan.
Beliau berkata, mereka ini juga berada di sektor yang kritikal serta perlu diberi perhatian yang sama oleh kerajaan.
“CUEPACS mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana bersedia untuk mempertimbangkan rayuan bagi menyerap masuk pegawai kesihatan kontrak KKM ke dalam perkhidmatan awam secara tetap.
“Pertimbangan ini sedikit sebanyak memberi sinar kepada lebih 23,000 pegawai kesihatan berstatus kontrak ketika ini yang mencurah keringat memberi khidmat kepada rakyat.
“Namun, perwujudan jawatan tambahan untuk doktor juga perlu mengambil kira keperluan penambahan jawatan lain yang memberi sokongan secara berpasukan seperti jururawat, penolong pegawai perubatan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, tanpa sokongan daripada pasukan ini, sudah tentu tidak akan berlaku keseimbangan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.
Menurutnya, CUEPACS berpendapat faktor kos serta kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sepatutnya tidak menghalang usaha menyerap semua kakitangan ini kepada status tetap kerana ia adalah suatu keperluan pada masa kini dan akan datang.
“Tambahan pula ketika ini masih banyak kawasan yang berlaku kekurangan fasiliti kesihatan serta kakitangan yang terlibat untuk memastikan operasi fasiliti kesihatan tersebut lancar.
“Begitu juga dengan kakitangan berstatus kontrak di lain-lain kementerian yang hanya menunggu masa untuk ditamatkan kontrak mereka ketika negara berhadapan dengan situasi pandemik,” katanya.
CUEPACS difahamkan terdapat kira-kira 1,200 pegawai pemantau harga di KPDNHEP akan ditamatkan kontrak mereka pada penghujung tahun ini.
“Penamatan kontrak tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan situasi semasa yang menyaksikan rakyat tertekan dengan kenaikan harga barangan sewenang-wenangnya oleh sesetengah pengusaha.
“Kerajaan seharusnya tidak terikat dengan waran perjawatan yang lama dalam mengisi perjawatan perkhidmatan awam kerana ia sepatutnya boleh disesuaikan mengikut situasi semasa negara.
“Dalam situasi semasa negara ketika ini, kerajaan tidak boleh terlalu berkira dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Tamat