KUALA LUMPUR | Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menggerakkan kakitangan kesihatan, pasukan keselamatan dan anggota-anggota lain di barisan hadapan bagi mencegah, mengawal pergerakan dan melakukan tindakan pemberian rawatan untuk mencegah penularan COVID-19.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan PN juga telah bertindak melakukan kawalan tanpa mematikan kegiatan ekonomi bagi memelihara keperluan asasi rakyat dan negara.
Katanya, ianya disertakan dengan peruntukan bantuan yang besar yang disalurkan secara langsung kepada mereka yang terkesan dalam tempoh keadaan darurat ini.
“Walaupun adanya pelbagai bentuk sekatan, namun kerajaan tidak mematikan aktiviti kelangsungan hidup dengan cara yang terkawal.
“Hanya mereka yang kerjanya mencari kesalahan dan kelemahan sahaja, memungut senarai sekatan tanpa peduli akan keperluan untuk kegiatan berjalan di lapangan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam situasi pandemik yang berbahaya, pihak kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengatur kegiatan ekonomi perlu menentukan sempadan bagi menjaga keselamatan nyawa rakyat seluruhnya.
Katanya, ia sangat penting bagi mengelakkan daripada lebih ramai menjadi mangsa wabak dan mengawalnya daripada merebak sehingga membawa bahaya secara meluas.
“Walau bagaimanapun, keperluan hidup rakyat tidak dimatikan,” katanya.