by Nor Shazleza Shahril
RANTAU PANJANG | Sekumpulan lelaki bertindak melarikan diri menggunakan perahu ke seberang Thailand, meninggalkan pelbagai jenis kosmetik bernilai RM4,076 dalam kejadian di pangkalan haram Bilal Dollah, di sini, malam tadi.
Kesemua lelaki yang tidak diketahui warganegara itu bertindak sedemikian selepas menyedari kehadiran anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7).
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata dalam kejadian jam 12.25 tengah malam itu, anggota bertugas sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan sebelum terserempak kumpulan lelaki yang sedang mengangkat barangan daripada perahu ke tebing sungai.
“Sebaik kesemua suspek melarikan diri, anggota membuat pemeriksaan ke atas kotak berkenaan dan didapati terdapat barangan kosmetik pelbagai jenama dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Kesemua barangan dirampas dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada agensi farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan.
“Kes ini disiasat dibawah Peraturan – Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Azhari berkata kesemua barangan kosmetik berkenaan dibawa melalui jalan yang tidak diwartakan dan diseludup untuk dijual tanpa pengesahan KKM.
“Tindakan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang negara, malah boleh memudaratkan pengguna yang membeli barangan kosmetik berkenaan susulan tiada jaminan keselamatan.
“Kita juga mendapati golongan penyeludup sering kali menjalankan aktiviti pada waktu tengah malam bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun kami tidak pernah ‘lena’ sebaliknya bertugas 24 jam bagi menangani jenayah rentas sempadan,” katanya.