KUALA LUMPUR | Majlis Belia Malaysia (MBM) mendokong kuat syor dan saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mewajibkan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen (AP) mengisytiharkan harta masing-masing,
Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, ia akan menjadi mekanisma berkesan dengan mewajibkan anggota pentadbiran dan AP mengisytiharkan harta.
“Sebelum ini tiada mekanisme penguatkuasaan undang-undang berikutan Parlimen meluluskan usul yang mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan disertakan salinan kepada pihak SPRM.
“Sebagai agensi penguatkuasa, SPRM juga telah menyatakan kesediaan dan komitmen yang tinggi bagi melaksanakan tugas penguatkuasaan apabila akta ini digubal dan diluluskan kelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Jufitri berkata, MBM amat yakin ia merupakan salah satu agenda tatakelola atau governan yang baik dan iltizam politik yang tinggi bagi memastikan ketelusan dan usaha mencegah rasuah serta salah guna kuasa.
“Ia juga baik untuk menjadi peringatan kepada pemimpin agar mengekalkan gaya hidup sederhana serta menyantuni kehidupan rakyat terbanyak,” katanya.
Terdahulu, SPRM mengesyorkan supaya satu akta digubal di Parlimen bagi mewajibkan anggota pentadbiran, ahli Parlimen dan Dewan Negara mengisytiharkan harta masing-masing.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, ini kerana sehingga kini, tiada sebarang hukuman jelas boleh diambil terhadap mereka yang tidak berbuat demikian.
Beliau berkata, pada 2019, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan sesalinan diberikan kepada SPRM.