KUALA LUMPUR | Permohonan untuk insentif PenjanaKerjaya 3.0, Program KerjayaGig dan SIP Prihatin 2.0 yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dibuka mulai hari ini sehingga 31 Disember depan.
Bahagian Komunikasi Strategik PERKESO dalam satu kenyataan memaklumkan majikan dan pencari kerja boleh membuat permohonan insentif di bawah PenjanaKerjaya 3.0 dan Program KerjayaGig melalui pautan https://penjanakerjaya.perkeso.gov.my.
Menurut kenyataan itu, bagi program SIP Prihatin 2.0 pula, permohonan boleh dibuat melalui aplikasi telefon mudah alih Prihatin PERKESO yang boleh dimuat turun di Google Play Store ataupun Apple App Store mulai jam 12 tengah hari ini.
“Majikan yang menggajikan pekerja bermula 15 Jun 2021 dan seterusnya, layak untuk memohon insentif pengambilan pekerja di bawah program-program tersebut.
“PenjanaKerjaya 3.0, Program KerjayaGig dan SIP Prihatin 2.0 telah diperkenalkan di bawah PEMULIH oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021.
“Bantuan kerajaan ini dilaksanakan untuk merangsang pewujudan pekerjaan baharu dan menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan khasnya, selain memperluaskan jaringan perlindungan sosial kepada pelbagai lapisan masyarakat dan meringankan beban mereka amnya, ketika krisis COVID-19 ini,” menurut kenyataan itu hari ini.
Maklumat lanjut berhubung setiap inisiatif tersebut boleh didapati melalui Soalan-soalan Lazim (FAQ) di laman web rasmi di www.perkeso.gov.my dan media sosial rasmi PERKESO, atau hubungi Careline PERKESO di 1300-22-8000.
Tamat