KUALA LUMPUR | Kerajaan dicadang menggerakkan muafakat politik selain menyediakan perjanjian kepercayaan dan belanjawan sebagai isyarat menghargai sokongan mereka dalam usaha berkerjasama bagi memastikan soal pemulihan ekonomi dapat dilakukan dengan baik.
Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata kumpulan yang menyokong kerajaan daripada luar kerangka parti kolisi ini sewajarnya diperteguhkan dalam muafakat politik yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Katanya, peruntukan yang diberikan kepada mereka juga adalah untuk rakyat
“Kami percaya Perdana Menteri sentiasa berjiwa besar dalam pentadbiran negara di mana usaha sebegini sekaligus akan dapat meletakkan negara dalam landasan terbaik bagi pelaksanaan pelan PPN tersebut.
“Kami mengecam mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam suasana negara sekarang ini. Suara-suara untuk menukar PM perlu dihentikan, begitu juga dengan kempen tanda pagar yang negatif mesti dihentikan juga.
“Kami turut meminta agar rakyat jangan terpedaya dengan kempen kerajaan gagal kerana terbukti kerajaan bertungkus lumus memberikan yang terbaik buat semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, beliau meminta supaya perseteruan politik dihentikan seketika sehinggalah datangnya masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Menurutnya, sudah tentulah masa yang sesuai tersebut setelah kita mencapai imuniti kelompok berasaskan vaksinasi menyeluruh kepada rakyat.
“Kita juga menggesa kepada semua ahli politik untuk menghentikan seketika perbalahan bagi memberi tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan membela kebajikan rakyat.
“PINTAR bimbang dengan keadaan terkini pandemik Covid-19 dalam negara yang menjangkau melebihi lima angka untuk kes harian dan ia perlu diberikan perhatian segera.
“Apa yang membimbangkan kita adalah sikap dikalangan sebahagian ahli politik ini yang tidak habis-habis hanya mementingkan mengenai kuasa, tanpa memikirkan kesan yang sedang dihadapi oleh rakyat pada ketika ini.
“Kami yakin terdapat majoriti ahli parlimen yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam hal membangunkan ekonomi negara dan menjaga kebajikan rakyat ini walaupun ada segelintir ahli parti mereka yang sibuk berpolitik ingin merebut kuasa.
Dalam aspek ini, beliau melihat bahawa Perdana Menteri terus berjiwa besar membuka ruang kerjasama dengan semua pihak yang ingin membantu, sama ada dari pihak parti yang membentuk kerajaan mahupun mereka yang menyuarakan persetujuan dari pihak pembangkang.
Menurutnya, dengan memperkukuhkan kerajaan menerusi kebersamaan ahli politik dalam menghadapi pandemik, pasti akan dapat menstabilkan semula keadaan ke arah pemulihan ekonomi yang penting untuk diberikan tumpuan masakini.
Katanya, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini boleh dijadikan landasan untuk memperkukuh sokongan dan kebersamaan dalam usaha menguruskan negara.
“Begitu juga, apa yang dibuat untuk membantu rakyat dengan memberikan peruntukan RM300 ribu kepada setiap ahli parlimen bagi menyediakan bakul makanan, adalah usaha yang sangat baik.
“Oleh itu, kami turut ingin menyarankan agar peruntukan sebegini terus dapat disalurkan kepada semua ahli-ahli parlimen sebagai menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap sokongan dan kebersamaan wakil-wakil rakyat dalam membantu kerajaan semasa,” katanya.
Tamat