by Nor Shazleza Shahril
PUTRAJAYA | Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program Bakul Prihatin Negara (BPN), yang membabitkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan di seluruh negara.
Bakul itu akan diagihkan kepada 1.68 juta penerima dengan peruntukan RM21 juta.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata program berkonsepkan ‘masyarakat menyeluruh’ membabitkan kerjasama kerajaan dan syarikat korporat yang diuruskan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah KPWKM.
“BPN adalah nilai tambah kepada Program Bantuan Bakul Makanan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini menerusi pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
“BPN ini menggunakan pendekatan kerjasama strategik berkonsepkan ‘Whole of Society’ yang melibatkan kolaborasi kerajaan dengan syarikat korporat”.
“Daripada peruntukan RM21 juta itu, RM5 juta adalah peruntukan kerajaan manakala RM16 juta disumbangkan oleh syarikat korporat yang terdiri daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), AEON Big, Pharmaniaga, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia,” katnya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Bagi rakyat yang memerlukan, katanya, permohonan boleh dikemukakan bermula 19 Julai ini.
Permohonan BPN boleh dibuat dengan menghubungi Bilik Gerakan JKM yang terdapat di 108 daerah di seluruh negara, Talian Kasih di 15999 atau Whatsapp ke 019-2615999.