NEW DELHI | Shah Rukh Khan bukan sahaja pelakon paling berjaya di India, tetapi merupakan pelakon paling terkaya dengan kekayaan terkumpul sebanyak AS$750 juta (RM3.15 bilion).
Gulf News melaporkan pelakon Kabhi Kushi Kabhi Gham itu sering mengamalkan kehidupan biasa dan dia lebih gemar makan di rumah serta tidak suka menghabiskan duit terhadap perkara tidak penting.
Pelakon tampan itu kini dikenali sebagai antara individu paling kaya di India.
Rumah mewah Khan yang terletak di Mumbai mula menjadi perhatian sejak muncul dalam filem Yes Boss pada 1997.
Rumah itu terletak dalam kawasan paling mahal di Mumbai yang bernilai AS$27 juta (RM113 juta).
Isterinya, Gauri memaklumkan kepada Vogue India, mereka sekeluarga mengambil masa selama lebih 10 tahun untuk mereka semula dan mendekorasi rumah tersebut.
Rumah itu dikenali sebagai kawasan tumpuan pelancong dan Khan sering berdiri di podium sementara untuk menyambut orang ramai yang menunggu di luar untuk melihatnya.
Rumah itu dihiasi dengan lampu candelier kristal, perabot mewah dan kenangan keluarga. SUMBER: UTUSAN