KOTA BHARU | Tujuh individu termasuk tiga wanita direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu bagi membantu siasatan kes seorang buruh dibelasah di tepi Jalan Pasir Tumboh di sini, kelmarin.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Rusli Ahmad di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mereka berusia antara 19 hingga 46 tahun itu ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Media semalam melaporkan, ejek-mengejek dipercayai menjadi punca seorang buruh dibelasah dalam kejadian di Pasir Tumboh di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 5 petang itu, ketika mangsa yang berusia 30 tahun sedang berjalan kaki pulang dari tempat kerjanya di Lundang di sini ke rumahnya berdekatan lokasi kejadian.