BY Nor Shazleza Shahril
KOTA BHARU | Isu rakaman audio suara Mantan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang menegaskan parti itu belum bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) mendapat perhatian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kota Bharu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut memberitahu, situasi itu cukup untuk mengambarkan bahawa UMNO sememangnya masih belum bersedia untuk menghadapi PRU yang akan datang.
Katanya, jika dilihat dengan lebih jelas berdasarkan rakaman audio dan keadaan politik UMNO sekarang cukup untuk membuktikan mereka bukan mahu mengadakan PRU sebaliknya hanya ingin menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Malah, saya juga tidak terkejut mendengar rakaman suara sedemikian di dalam rakaman audio yang tular itu kerana kita dapat melihat UMNO lebih banyak berpolitik daripada membuat persediaan untuk menghadapi PRU”.
“Kita juga dapat melihat kemelut politik parti itu selain sering bertelagah antara satu sama lain jelas menunjukkan mereka hanya mementingkan diri sendiri”.
“Selain itu, UMNO juga begitu taksub dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri ketika ini tanpa setitik pun keprihatinan di dalam hati mereka mengenai kesusahan yang sedang ditanggung oleh rakyat berikutan pelbagai masalah yang timbul sejak Covid-19 melanda,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Beliau berkata, mereka juga merasakan bahawa dalam keadaan kes Covid-19 yang masih tinggi di negara ini merupakan waktu yang paling sesuai dan tepat untuk menjatuhkan Perdana Menteri.
“Bagi saya, secara amnya cukup untuk mengambarkan agenda UMNO kini jauh berbeza daripada keputusan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Mac lalu”.
“Tan Sri Muhyiddin begitu banyak memberi peruntukkan kepada rakyat bagi sama-sama menangani Covid-19 dan telah habis-habisan berusaha melandaikan rantaian Covid-19 sejak virus ini mula melanda negara”.
“Rakyat sekarang sudah berilmu dan berpelajaran tinggi, mereka boleh menilai antara yang hitam atau putih atau yang mana baik atau buruk,” katanya.
Menurutnya, rakaman audio itu sebenarnya telah memberi kelebihan kepada Bersatu kerana jika dahulu niat mereka masih belum dapat dilihat namun kini semuanya sudah terungkap dengan kata lain, ‘sudah terang lagi bersuluh.
Media sebelum ini melaporkan, satu rakaman audio dikatakan mirip suara Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang menegaskan parti itu belum bersedia menghadapi pilihan raya umum, tular di media sosial.
Rakaman berdurasi 15 minit itu turut dikongsi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di akaun Facebooknya pada petang Isnin lalu.
Ucapan dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pasir Salak itu, dipercayai direkodkan ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini.