IDIHAYS. SB
KUALA LUMPUR | Pelbagai usaha giat dilaksanakan termasuklah memastikan setiap warga kota lengkapkan dua dos vaksin menjelang Ogos, untuk membolehkan Kuala Lumpur sebagai pusat kegiatan ekonomi utama dapat dibuka semula sepenuhnya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihaknya yakin penduduk di Kuala Lumpur akan mencapai imuniti berkelompok dan berpandu data semasa, hampir 80 peratus warga kota telah lengkapkan kriteria menerima dua dos vaksin COVID-19.
Beliau berkata, buat masa sekarang, adalah masa untuk semua pihak berwajib turun mencari serta mengenal pasti warga tercicir seperti golongan miskin dan gelandangan untuk divaksinkan.
“Ini juga adalah antara tujuan kita menubuhkan RumahPrihatin@GrandSeasons bagi memastikan tiada warga kota terlepas ataupun tertinggal dari divaksinasi,” katanya selepas meninjau operasi hari pertama RumahPrihatin@GrandSeasons, di Kuala Lumpur, petang ini. .
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Datuk Zaizalnizam Zainun dan Pengarah Hotel Grand Season, Datuk Ariff Shah Omar Shah.
Annuar berkata, bagi mencapai sasaran itu, satu mesyuarat juga akan diadakan bersama semua ahli parlimen Wilayah Persekutuan, pada esok, bagi membincangkan perancangan Kuala Lumpur setelah mencapai imuniti kelompok.
“Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan dan Ahli Dewan Negara tanpa mengenal parti dan saya mahu mendapatkan pendapat mereka sekiranya Kuala Lumpur ini dibuka nanti dengan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu selepas kita mencapai 80 peratus imuniti berkelompok.
“Apabila pada awal Ogos kita dah capai dua dos untuk setiap warga kota, saya berpandangan kita perlu hidup bersama COVID-19 dan kita kena mula buka kegiatan di Kuala Lumpur.
“Jadi saya perlu dapatkan pandangan daripada wakil rakyat macam mana cara yang boleh kita lakukan, macam mana kita boleh buat pemerkasaan komuniti dan kepatuhan SOP,” katanya.
RumahPrihatin@GrandSeason yang mula beroperasi hari ini menawarkan enam komponen utama iaitu Dapur Prihatin, Food Bank, Bilik Penginapan Prihatin, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Khidmat Vaksinasi Prihatin dan Pusat Gerakan Jejak Prihatin selari dengan konsep Wilayah Cakna dan Wilayah Prihatin bagi membantu rakyat secara lebih proaktif.
HABIS