KOTA BHARU | Kerajaan negeri Kelantan bersetuju memberi pengecualian bayaran sewa premis selama dua bulan kepada peniaga kecil yang terkesan akibat COVID-19.
Pengecualian itu diberikan kepada 9,571 premis yang disewa milik kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengecualian itu membabitkan peruntukan sebanyak RM3.29 juta.
“Pengecualian itu diberikan untuk sewa bagi Julai dan Ogos depan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Negeri Kelantan 2021.
“Sebanyak 9,571 premis yang disewa oleh peniaga kecil ini di 12 PBT,” katanya menerusi laman Facebook rasminya di sini.
Ahmad berkata, semoga insentif itu dapat membantu meringankan beban ekonomi bagi peniaga-peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik COVID-19.