KUALA LUMPUR | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan agensi agama mengagihkan sebanyak RM573.4 juta sejak Mac lalu.
“Alhamdulillah, jumlah sebesar ini tidak akan tercapai tanpa komitmen yang jitu daripada agensi-agensi agama peringkat persekutuan di bawah tanggungjawab saya dan sokongan penuh rakyat.
“Bagi Januari hingga Jun lalu, jumlah agihan Musaadah adalah RM160.41 juta,” katanya menerusi laman Facebooknya di sini hari ini katanya.
Beliau berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada Mac 2020, agensi-agensi agama di bawah Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) giat menyalurkan bantuan ke seluruh Malaysia melalui pelbagai inisiatif yang disediakan, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri.
Katanya, agihan diberikan dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran dan bank makanan.
“Agihan lain termasuk makanan sedia untuk dimakan, wakaf kesihatan (katil di ICU, monitor di ICU, pam picagari, pam infusi, mesin BIPAP, ventilator di ICU, ventilator di rumah, katil dan peralatan perubatan lain), projek baik pulih serta bina rumah, bantuan komputer riba dan lain-lain,” katanya.