KUALA LUMPUR | Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan keanggotaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disenarai lantik dalam kalangan Ahli Dewan Negara.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris, berkata lantikan di kalangan ahli Dewan Negara perlu sebagai penggubal undang-undang di dewan tertinggi perundangan negara yang membangkitkan sesuatu isu demi kesejahteraan rakyat dalam banyak perkara terutama kepentingan bersama dan masa depan.
“Kita melahirkan harapan tinggi bahawa penubuhan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH akan menaikkan semula reputasi syarikat konglomerat kewangan Islam utama di Malaysia dan global.
“Menerusi RCI kelak, TH dijangka memulihkan semula imej dan membina kembali identiti pengiktirafan dunia sebagai contoh pengurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif dalam kalangan negara Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razali yang juga Timbalan Presiden Majllis Senator, berkata pihaknya yakin siasatan RCI kelak membolehkan TH yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam deposit, Perkhidmatan dan Operasi Haji dan Pelaburan Dana akan memberi pulangan kepercayaan yang diyakini kepada lebih 10 juta pendeposit.
“Pendeposit mempunyai hak mutlak menerusi RCI untuk mendapatkan kebenaran dan maklumat tepat berhubung tadbir-urus, integriti dan operasi yang berlaku antara 2014 hingga 2020,” katanya.
Journal Malaysia sebelum ini melaporkan Kerajaan bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu mengenai TH hasil pengauditan perunding dari tahun 2014 hingga 2020.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada hari ini supaya hasil audit daripada PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger, disiasat.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang sedang dilaksanakan pada masa ini.
Tamat