KAJANG | Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menangguhkan semua program lawatan dan perjumpaan khas keluarga bersama klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara sempena sambutan Aidiladha ini.
Unit Media dan Komunikasi Korporat dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu diputuskan sebagai usaha dan langkah agensi untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19 dengan melihat situasi semasa sistem kesihatan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Bagaimanapun, agensi menyediakan medium panggilan video sebagai menggantikan kaedah bersemuka kepada keluarga sempena sambutan tersebut.
“Bagi tujuan itu, AADK meminta agar semua keluarga yang ingin membuat panggilan video tersebut untuk membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghubungi PUSPEN yang berkenaan untuk urusan janji temu.
“PUSPEN berkaitan juga akan menetapkan tarikh dan tempoh masa panggilan video berdasarkan kekosongan yang disediakan,” menurut kenyataan itu lagi.
Orang ramai boleh menghubungi PUSPEN berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat seperti nombor telefon PUSPEN boleh didapati di laman web AADK di www.adk.gov.my.
Tamat