Oleh Nor Shazleza Shahril
KUALA LUMPUR | Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup lapan premis termasuk tiga hotel yang menjalankan aktiviti tidak bermoral iaitu urutan seks menerusi Ops Patuh bermula 9 Julai hingga semalam.
DBKL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 selain turut menyita pelbagai barangan seperti kondom, minyak pelincir, serta video rekoder.
Menerusi Ops Patuh Terhadap Premis Perniagaan / Komersial yang dilakukan pasukan khas Jabatan Penguatkuasaan (JPK) di 11 kawasan parlimen Wilayah Persekutun Kuala Lumpur (WPKL), sebanyak 740 premis atau syarikat telah dibuat pemeriksaan.
“Pemeriksaan itu membabitkan aktiviti perhotelan, pusat urut, perniagaan restoran, kedai runcit, pasaraya, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pemeriksaan adalah untuk memastikan perniagaan yang dibenarkan beroperasi sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Sebanyak sembilan notis kompaun dikeluarkan menerusi Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana pelbagai kesalahan terhadap pemilik premis atau syarikat yang ingkar pematuhan SOP PPN yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ops Patuh DBKL ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga tamat tempoh PPN dikuatkuasakan.
Tindakan khas ini dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta S.O.P DBKL dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Warga kota boleh memberikan kerjasama dengan menyalurkan aduan kepada pihak DBKL secara atas talian seperti link yang telah disediakan iaitu http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do