KOTA BHARU | Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menyediakan subsidi pembayaran perkhidmatan sewaan bas dan tiket penerbangan berjumlah hampir RM20,000 kepada pelajar yang pulang sempena cuti akhir semester Februari 2020/2021, dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Razli Che Razak berkata, pemberian subsidi itu adalah usaha yang diambil UMK bagi meringankan beban pelajar untuk pulang bercuti.
Katanya, operasi penghantaran pulang pelajar turut mendapat kerjasama dari Malaysia Relief Agency (MRA) Kelantan yang menyumbangkan makanan bernilai RM10,000 kepada pelajar UMK.
“Pelepasan pulang pelajar Fasa 1 hari ini membabitkan seramai 142 orang ke Perlis, Kedah Perak, Terengganu dan Pahang menerusi empat bas.
“Sementara itu, pergerakan pulang pelajar dari Sabah dan Sarawak menggunakan penerbangan awam, yang bermula semalam.
“Penuntut institut pendidikan tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti semester 2020/2021 bermula 12 Julai selaras dengan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 9 Julai lalu yang membenarkan pelajar pulang selepas Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penghantaran Pulang Pelajar UMK, di UMK Kampus Kota, di Pengkalan Chepa, di sini. Turut hadir, Presiden MRA, Dr Rosemi Salleh.
Menurut Razli, HEPA diamanahkan untuk memastikan pergerakan pelajar UMK pulang ke rumah masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, kaedah penghantaran pulang pelajar yang dibenarkan hanyalah menggunakan bas yang diuruskan oleh IPT, kenderaan pelajar sendiri dan penerbangan awam.
“Jumlah pelajar UMK yang dibenarkan hadir ke kampus untuk Semester Februari sesi pengajian 2020/2021 adalah seramai 860 orang di ketiga-tiga kampus.
“Namun, hanya 811 pelajar sahaja yang memohon untuk pulang, manakala selebihnya memilih untuk terus berada di kampus khususnya pelajar di UMK Kampus Jeli, yang menjalankan kerja penyelidikan dan melengkapkan tugasan makmal,” katanya.
Menurutnya, pada Fasa 2 iaitu pada 1 hingga 2 Ogos depan, seramai 254 pelajar akan pulang dengan menggunakan bas, kenderaan universiti dan kenderaan sendiri pelajar.
Katanya, mereka adalah pelajar yang akan balik ke kediaman yang tamat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan pelajar yang menunggu dos kedua vaksin di UMK.